PETALING JAYA – Anak kedua daripada tiga beradik The Family UK, Fatimah mengalami pendarahan tanpa henti selepas menjalani prosedur pembedahan biopsi pada minggu lepas.
Menurut satu hantaran di akaun keluarga itu, sudah memasuki hari kelapan Fatimah Omar Mukhlis, 10, mengalami pendarahan tanpa henti sehingga menjadikan badannya semakin lemah sejak dua hari lepas.
“Fatimah mengalami pendarahan selepas prosedur pembedahan biopsi pada minggu lepas. Hari ini sudah masuk hari ke lapan.
“Fatimah mengalami pendarahan dan masih lagi belum berhenti. Keadaan Fatimah semakin lemah semenjak dua hari lepas.
“Mohon jasa baik anda semua untuk membuat doa khusus agar pendarahan berhenti dengan segera. Semoga berkat doa ramai, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah,” tulis hantaran tersebut.
Dalam hantaran tersebut, turut dikongsikan sekeping gambar memaparkan Fatimah sedang terlantar di atas katil di sebuah hospital terletak di Birmingham.
Sementara itu, The Family UK turut meminta orang ramai agar mendoakan kesihatan Fatimah supaya diberikan kekuatan dan kesembuhan seperti sedia kala.
“Kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan, ingin memohon jasa baik anda semua agar sudi mendoakan shifa’ dan aafiyah kepada anak kesayangan kami yang kini masih lagi berada di hospital.
“Terima kasih pada semua yang tak putus-putus bertanya khabar, mendoakan dan juga menitipkan kata-kata semangat buat Fatimah dan kami sekeluarga.
“Semoga segala jasabaik anda semua dikurniakan ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah,” tulisnya.
Sebelum ini, status kesihatan Fatimah menjadi tanda tanya pengguna media sosial apabila akaun Instagramnya dipenuhi dengan gambar serta videonya di hospital sejak 16 Mac lalu.
Sejak itu, banyak gambar serta video Fatimah menjalani rawatan sering dimuat naik setiap hari, tanpa keluarganya mendedahkan sakit sebenar yang dihidapi kanak-kanak itu.
Tiga beradik The Family UK iaitu Omar Mukhtar, Fatimah dan Ali popular dengan video bertutur dalam dialek Kelantan walaupun membesar di Birmingham, United Kingdom.
Pada tangga 19 May 2019, dunia selebriti dikejutkan dengan pemergian bapa saudara trio The Family UK, Adamdidam
atau Muhammad Adam Mahamed Ismail yang meninggal dunia pada usia 29 tahun akibat jangkitan paru-paru.
Ramai mengetahui Fatimah bersama adik-beradiknya iaitu Omar Mukhtar dan Ali begitu rapat dengan bapa saudara mereka yang juga merupakan chef selebriti tempatan. – KOSMO! ONLINE