LEGENDA badminton tanah air, Chan Peng Soon berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi lebih tumpuan dalam usaha menaikkan semula martabat beregu campuran negara yang semakin suram.
Dia yang mengumumkan keputusan menggantung raket pada Malaysia Masters kelmarin, menggesa badan induk itu supaya menjadikan beregu campuran antara jabatan penting dalam skuad kebangsaan.
Peng Soon tidak mahu beregu campuran dijadikan sebagai tempat buangan untuk menghimpunkan pemain-pemain yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Harapan saya adalah BAM boleh memainkan peranan supaya beregu campuran sentiasa menjadi sebahagian yang penting dalam persatuan. Bagi saya, beregu campuran boleh jadi lebih bagus berbanding sekarang.
“Jangan sampai beregu campuran tempat terakhir untuk meletakkan pemain yang sudah dikeluarkan daripada perseorangan kerana itu boleh menyebabkan beregu campuran sukar nak capai standard dunia,” katanya.
Ketika ini, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei merupakan satu-satunya pasangan negara yang berada dalam kelompok 10 teratas dunia berbanding tiga ketika era Peng Soon-Goh Liu Ying, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Gandingan Peng Soon-Liu Ying boleh dianggap sebagai beregu campuran paling berjaya dalam sejaran badminton negara apabila memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.
“Semua orang tahu bahawa badminton sangat digilai di Malaysia. Rakyat Malaysia sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dari dulu hingga sekarang dan saya harap kita terus menyokong pemain-pemain muda,” ujar Peng Soon.