fbpx

Azeem kecewa larian semakin perlahan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM bergelut untuk melakukan catatan terbaik apabila mencetak masa 10.50s sahaja di Lexington awal pagi semalam.

JAGUH pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi terus bergelut untuk memperbaiki catatan masa apabila sekadar melakukan 10.50 saat (s) ketika beraksi pada Kelayakan NCAA di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat awal pagi semalam.

Kedudukan keenam Azeem pada saringan keenam itu me­nyaksikan dia menamatkan aksi di tempat ke-32 keseluruhan, sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Prestasi ditampilkan peme­gang rekod 100m kebangsaan itu boleh dianggap membimbangkan kerana ia masih jauh dengan catatan masa 10s yang diperlukan untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Pa­ris 2024 pada Julai nanti.

Meskipun tidak berpuas hati dengan prestasi setakat ini, namun Azeem menganggap ia sebagai proses untuk belajar serta memperbaiki catatan menjelang kejohanan akan datang.

“Satu musim yang cukup mengecewakan setakat ini, tetapi tidak mengapa kerana ini adalah proses pembelajaran dan saya enggan mengaku kalah. Alhamdulillah atas apa yang berlaku dan saya bersyukur masih diberi nikmat kesihatan,” katanya.

Pada saringan keenam itu, Wanya McCoy dari Florida Gators muncul pelari terpantas menerusi catatan 10.29s diikuti atlet Louisiana State University, Myles Thomas (10.42s) dan Antonio Laidler (10.43s) dari Indiana University.

Keputusan itu menyaksikan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s tersebut perlu menunggu lebih lama ­untuk layak ke Olimpik Paris.
Jika gagal, Azeem masih mampu beraksi di bumi Perancis itu sekiranya menghuni kelompok 56 teratas ranking kelayakan dengan kedudukannya ketika ini di tangga ke-55.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI