PETALING JAYA – Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB) dan Persatuan Ulama Malaysia telah bekerjasama dengan Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) bakal menganjurkan Seminar Kebangsaan Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam (SKFMKI 2024).
Bertemakan Kelestarian Kewangan dan Kesejahteraan Ekonomi Ummah, seminar itu akan berlangsung Sabtu ini di UIS.
Ahli Lembaga KMMB, Ahmad Tarmizi Husain berkata, seramai 400 orang dijangka menyertai program tersebut.
Menurut beliau, seminar tersebut akan menjurus kepada perbahasan dan perkongsian ilmu dalam menjana serta memperkasa sistem ekonomi Islam secara mapan dan bersepadu selaras dengan prinsip syariah yang meliputi transaksi seperti jual beli, sewa, gadaian, hutang, upah serta instrumen kewangan seperti sukuk.
“Ia bakal disampaikan oleh pakar dan ahli akademik serta mereka yang terlibat secara langsung dalam pasaran kewangan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Selain itu, Timbalan Pengarah seminar tersebut, Dr. Norfaizah Othman menerangkan, seminar tersebut bakal memberi kefahaman dan kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan membangunkan ekonomi berasaskan prinsip Islam bertunjangkan syariah. -KOSMO! ONLINE