TAIPING – Seroang warga emas cedera selepas motosikal yang dinaiki terbabas ke dalam longkang ketika melalui jalan mendap di Jalan Muzaffar Shah, Taman Saujana Jaya di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 pagi.
“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi penyelamatan.
“Setibanya di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 68 tahun berada di dalam longkang selepas kenderaannya terbabas akibat jalan mendap,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE