fbpx

[VIDEO] Suspek memang ‘aim’ Faisal Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video CCTV berdurasi 56 saat yang tular di media sosial didakwa rakaman ketika Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu.

PETALING JAYA – Suspek simbah asid Faisal Halim dipercayai telah menunggu dan menyorok lama di belakang sebuah kenderaan sambil menunggu kehadiran pemain kebangsaan itu ke tempat parkir.

Menerusi video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 56 saat yang tular di media sosial, suspek tersebut memakai topi bersama sepersalinan pakaian berwarna hitam.

Suspek kelihatan menunggu lama seolah-olah sudah merancang dan mengetahui di mana Faisal Halim meletakkan kenderaannya ketika datang ke pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Ketika melihat penyerang Selangor FC itu berjalan ke arah kenderaannya, suspek segera mengekori dari arah belakang tanpa disedari Faisal dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril.

Selepas 10 saat kemudian, suspek segera menyimbah asid berkali-kali terhadap Faisal yang ingin membuka pintu kenderaannya sehingga percikan turut terkena pada Nur Syazwani.

Suspek juga sempat menunduk untuk mengutip botol dipercayai mengandungi asid yang disimbah sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menaiki motosikal.

Tangkap layar video CCTV memaparkan suspek melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang menaiki motosikal tidak jauh dari lokasi kejadian.

Kelihatan di awal video juga, rakan suspek yang menaiki motosikal tidak dapat dikenal pasti jenisnya telah menunggu lama di hadapan pintu pusat beli-belah tersebut sebelum kejadian tersebut berlaku.

Hari ini, selepas 18 hari kejadian malang itu, tular di media sosial video CCTV memaparkan tragedi simbah asid yang menimpa Faisal atau lebih mesra disapa Mickey.

Walaupun kesahihan CCTV itu masih belum disahkan oleh pihak berkuasa, namun menurut pengamal media yang mengikuti tinjauan lokasi, kawasan tempat di dalam video tular itu sememangnya menggambarkan pintu masuk sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dimana lokasi malang tersebut berlaku.

Terdahulu, pemain berusia 26 tahun itu yang juga bapa seorang anak itu mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Pada 19 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan fotofit suspek yang disyaki berusia lingkungan 30-an serta berketinggian 165 sentimeter.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek juga mempunyai kulit sawo matang selain bersaiz badan sederhana.

Lakaran fotofit itu akan dibuat berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Setakat ini, lebih 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI