PETALING JAYA – Pemain kebangsaan, Faisal Halim kelihatan seperti ‘berasap’ selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di sini, 5 Mei lalu.
Situasi itu dapat dilihat menerusi video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial hari ini setelah 18 hari kejadian malang itu berlaku.
Faisal diserang selepas kira-kira 10 saat suspek bersembunyi di belakang kenderaan lain sebelum kejadian berlaku.
Ketika suspek menyimbah asid terhadap penyerang Selangor FC itu berkali-kali, kelihatan Faisal ‘berasap’ sebelum terduduk di tepi kenderaan lain.
Sebelum melarikan diri, suspek sempat berpatah balik untuk mengutip botol dipercayai mengandungi asid yang disimbah sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menaiki motosikal.
Walaupun kesahihan CCTV itu masih belum disahkan oleh pihak berkuasa, namun menurut pengamal media yang mengikuti tinjauan lokasi, kawasan tempat di dalam video tular itu sememangnya menggambarkan pintu masuk sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dimana lokasi malang tersebut berlaku.
Terdahulu, pemain berusia 26 tahun itu yang juga bapa seorang anak mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid individu tidak dikenali.
Pada 19 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan fotofit suspek yang disyaki berusia lingkungan 30-an serta berketinggian 165 sentimeter.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek juga mempunyai kulit sawo matang selain bersaiz badan sederhana.
Lakaran fotofit itu dibuat berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Setakat ini, lebih 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE