LONDON – Selepas membuat keputusan ‘berpisah’ dengan Chelsea, saham Mauricio Pochettino terus melonjak dan kini dikaitkan akan menggantikan Gareth Southgate untuk mengemudi kebangsaan England.
Southgate ketika ini sedang sibuk untuk menyenaraikan 26 pemain bagi mengharungi saingan Euro 2024 di Jerman tetapi nama Pochettino mula dikaitkan untuk mengisi jawatan itu jika ada kekosongan.
Malah, Pochettino juga ada pengalaman melatih pemain muda England betika bertugas di Southampton, Tottenham Hotspur dan Chelsea selain memiliki hubungan rapat dengan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak England (FA), John McDermott.
“Sudah pasti hubungan saya dengan England sentiasa baik. Kami mempunyai hubungan dengan akademi dan akan cuba membina pemain muda bagi skuad kebangsaan.
“Kamu tidak akan pernah tahu dan saya bersedia dengan apa saja kemungkinan,” menurut kenyataan Pochettino tentang keinginannya melatih England, dua tahun lalu.
Antara bintang The Three Lions yang pernah bekerjasama dengan Pochettino adalah Harry Kane, Conor Gallagher dan Cole Palmer. – AGENSI