PETALING JAYA – Video penampakan entiti makhluk halus, hantu memakai sari yang didakwa dirakam di Jalan Kapar – Jeram, Klang sebenarnya dirakam di India.
Gambar penampakan hantu memakai sari itu dimuat naik di laman YouTube seorang lelaki warganegara India @XYZ-VIRAL, sejak sebulan lalu dan ia kembali tular semalam di laman Facebook @Raja Asyairoh Wal Maturidiyyah sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
“Hantu India pakai sari, lokasi Kapar-Jeram jalan estet. Dikatakan, gambar malam tadi punya cerita, kalau nampak ini macam, jalan terus jangan berhenti. Apapun jin memang suka menakut-nakutkan manusia,” tulisnya di hantaran itu.
Walaupun tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya, namun penampakan makhluk yang terlihat jelas fizikalnya itu menimbulkan keresahan di hati netizen dan ada juga yang enggan mempercayai kejadian tersebut.
“Dekat Segamat dulu pernah wujud macam ni, tak selalu muncul yang nasib tak baik saja akan kena kacau. Tapi kaki tak nampaklah,” ujar seorang pengguna.
“Bertahun aku lalu di situ, kadang-kadang pukul 2 pagi, 4 pagi pun pernah. Seram sebab banyak jalan gelap gelita takde lampu tapi tak pernah lagi benda-benda macam ni. Nak tahu apa yang seram sana? Jalan banyak lubang, anytime kau boleh pecah,” komen Zulfadhli.
“Aku pun sampai tak nak tengok dah cerita ni, kejap dekat sana kejap dekat sini kejap dekat situ, entah dari mana la asal sebenar kisah ni, hanya pemilik saja yang tahu kejadian di tempat sebenar,” kata Hendrashahl.– KOSMO! ONLINE