PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan rasa kesal setelah mendapati perkhidmatan sistem Maybank tergendala sekitar pukul 5 petang, hari ini.
Tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata netizen tidak berpuas hati kerana tidak dapat melakukan pembayaran menggunakan platform pembayaran Proses Pertukaran Kewangan (FPX) dan kad debit.
Malah, aplikasi MAE juga didapati tidak boleh diakses ketika ini.
Menurut seorang pengguna di aplikasi X, dia terpaksa menggunakan bank lain untuk membuat pembayaran setelah kad debit Maybank miliknya tidak boleh digunakan.
“Sekarang ini sedang beratur panjang di pasar raya. Semuanya gara-gara system Maybank ‘down’dan kad kena ‘reject’,” katanya.
“Dua kali bayar, dua kali ‘failed’. Mujurlah ada tunai dalam tangan. Saya yakin dalam bank masih ada duit, jadi sahlah system Maybank yang bermasalah,” kata Fadhillah.
Malah, beberapa orang pengguna juga mengakui mereka mengalami masalah untuk mengeluarkan tunai di mesin juruwang automatik (ATM).
“Nak keluarkan duit ‘cash’ dari Maybank pun tak boleh sekarang, ATM pun tidak boleh guna,” kata Amirul.
“Saya hendak bayar guna kod QR pun tidak boleh sebab MAE tergendala,” kata seorang lagi pengguna.
Setakat ini, tidak ada lagi sebarang maklum balas yang diterima daripada pihak Maybank. – KOSMO! ONLINE