PETALING JAYA – Kecoh di media sosial hari ini selepas tular video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 56 saat memaparkan insiden sewaktu pemain kebangsaan, Faisal Halim disimbah asid di sebuah pusat beli-belah dekat Petaling Jaya, 5 Mei lalu.
Bagaimanapun, orang ramai mula berteka-teki siapa yang menyebarkan rakaman CCTV terbabit sedangkan sebelum ini semasa kes tersebut hangat diperkatakan, ‘bukti’ itu seperti sengaja disembunyikan.
“Siapa yang sebar pula? Kenapa sebelum ini senyap. Kenapa baru sekarang muat naik di media sosial? Apa sebenarnya yang berlaku?,” soal beberapa pengguna media sosial selepas menonton rakaman tular terbabit.
Dalam pada itu, orang ramai menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes malang yang menimpa beberapa pemain bola sepak dengan sebaik mungkin agar dalang utama dalam kejadian terbabit dapat ditangkap.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan suspek simbah asid Faisal dipercayai telah menyorok lama di belakang sebuah kenderaan sambil menunggu kehadiran penyerang Selangor FC itu ke tempat parkir sebelum bertindak menyimbah asid ke arah Faisal. – KOSMO! ONLINE