PETALING JAYA – Langkah rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan kerajaan tahun ini dijangka memberi impak minimum kepada perniagaan Sime Darby Property Berhad (SDP).
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican berkata, kebanyakan subkontraktor pihaknya sememangnya tidak menerima subsidi bahan api dan tidak membeli bahan api dari stesen-stesen minyak.
“Jadi sekiranya ada rasionalisasi subsidi di stesen minyak, ia mungkin tidak memberi impak ketara, namun kami perlu melihat apa perancangan dan butiran lanjut (berhubung subsidi bahan api) untuk melihat kesannya kepada sektor hartanah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya hari ini, berhubung prestasi kewangan Kumpulan bagi tempoh suku tahun pertama berakhir 31 Mac lalu.
Bagi tempoh tersebut, SDP merekodkan hasil RM978.7 juta, 42.8 peratus lebih tinggi berbanding RM685.3 juta yang dicatatkan setahun lalu.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti pula mencapai pertumbuhan 103.7 peratus tahun ke tahun untuk mencecah RM123.6 juta.
Dalam pada itu, Azmir menambah, untuk tempoh jangka masa panjang, pihaknya akan melihat kepada cadangan untuk memperkenalkan penawaran sewa untuk beli (rent to own) bagi membantu pemilikan kediaman buat golongan yang sukar mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank.
“Ia merupakan cadangan yang baik dan kami pernah melihat perkara ini pada masa lalu, namun ketika itu kami belum bersedia serta tidak memiliki sumber mencukupi untuk mengkaji lanjut.
“Kami akan melihat perkara ini untuk jangka masa panjang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE