PETALING JAYA – Keadaan sesak dengan orang ramai di beberapa stesen transit aliran ringan (LRT) akibat kelewatan ketibaan tren LRT laluan Kelana Jaya yang berpunca daripada gangguan suis landasan tersebut.
Gangguan yang bermula kira-kira sejak pukul 8 pagi, berpunca daripada kegagalan suis landasan LRT stesen Kelana Jaya dan stesen Taman Bahagia sehingga menganggu perjalanan menuju ke kedua-dua arah Putra Height dan Gombak.
Selain itu, gangguan yang berlaku pada waktu puncak itu juga menyusahkan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam berkenaan menuju ke tempat kerja masing-masing.
Tinjauan Kosmo! di stesen LRT Pasar Seni mendapati, suasana sesak dan padat dengan orang ramai serta beberapa barisan panjang terpaksa dibuat bermula daripada pertukaran tren transit aliran deras (MRT) ke LRT.
Selain itu, gangguan yang tidak terjangka itu turut menyebabkan sebahagian orang ramai terpaksa berpatah balik dan membuat keputusan untuk bekerja dari rumah akibat kegagalan mereka untuk tiba ke destinasi masing-masing. – KOSMO! ONLINE