NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 39 burung flamingo mati dirempuh sebuah penerbangan Emirates yang melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai, barat India, lapor Penyiaran Perbadanan Britain (BBC) semalam.
Kejadian itu mengundang kemarahan aktivis-aktivis alam sekitar. Mereka menyalahkan pembinaan yang berlebihan menjadi punca nahas berlaku.
Pesawat membawa lebih 300 penumpang itu bagaimanapun mendarat dengan selamat semasa kejadian pada Isnin lepas.
“Pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang serta anak kapal tidak mengalami kecederaan.
“Malangnya, beberapa burung flamingo telah mati dan Emirates bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai perkara ini,” kata seorang jurucakap Emirates kepada media tempatan.
Pihak berkuasa berkata, masih belum jelas sama ada kawanan burung itu menyimpang dari laluan biasa dan memasuki landasan.
“Kira-kira 29 bangkai ditemui pada hari kejadian dan 10 lagi keesokan harinya,” kata pegawai tempatan, Amol Bhagwat.
Setiap tahun, beribu-ribu flamingo berhijrah ke Mumbai sekitar bulan November untuk menjadikan tanah lembap di bandar itu sebagai habitatnya selama beberapa bulan. – AGENSI