fbpx

Pearly-Thinaah idam gelaran sebelum Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (depan) dan Thinaah berjaya melangkah ke suku akhir selepas menewaskan beregu India semalam. – SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kejohanan Badminton Malaysia Masters dianggap sebagai salah satu medan buat beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk sekurang-kurangnya meraih satu kejuaraan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirainya 26 Julai nanti.

Peluang itu dilihat cerah apabila mereka melayakkan diri ke suku akhir selepas menewaskan beregu India, Simran Singhi-­Ritika Thaker 21-17, 21-11 di pusi­ngan kedua hari ini.

Pada aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil, Pearly-Thinaah sedikit bergelut di set pertama, namun berjaya mengembalikan fokus dan menyingkirkan lawan dalam tempoh 32 minit.

“Sudah tentu semua orang meletakkan harapan untuk mendapatkan gelaran, sama seperti kami. Bagaimanapun, seperti biasa kami ambil pendekatan untuk fokus terhadap satu demi satu perlawanan.

“Memang ada rasa sedih tidak dapat gelaran tahun lalu, tetapi biarlah berlalu. Mungkin masih ada beberapa aspek yang belum cukup untuk kami dapatkan gelaran tersebut,” kata Pearly.

Sebagai rekod, bekas juara Terbuka Perancis itu turun de­ngan status sebagai naib juara pada Malaysia Masters kali ini selepas tewas kepada jaguh Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di perlawanan akhir tahun lalu.

Sementara itu, Thinaah pula sedia menggunakan kesempatan sebaiknya untuk merangkul gelaran pada edisi kali ini memandangkan ramai pemain ternama tidak hadir, namun tetap berwaspada dengan ancaman beregu lain.

“Bukan senang untuk beraksi menentang pemain-pemain lain yang datang ke sini kerana mereka juga sangat berpengalaman dan berkualiti. Oleh itu, kami perlu berikan yang terbaik,” ujarnya.

Turut mara ke suku akhir esok adalah tiga beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao serta Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran) dan Go Pei Kee-Low Yeen Yuan (beregu wanita) apabila gagal mengiringi rakan lain ke suku akhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI