fbpx

NUJ pandang serius dakwaan ahli politik ugut wartawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJ) memandang serius dakwaan ahli politik yang dikatakan telah menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita bahasa Tamil.

Setiausaha Agung NUJ, Teh Athira Mohamed Yusof berkata, pihaknya mengambil berat terhadap keselamatan dua orang wartawan yang terlibat dengan insiden tersebut iaitu P. Puvaneswaran dan M. Pavalam, serta seluruh komuniti wartawan Tamil.

“Kami juga ingin menyatakan solidariti kami bersama Persatuan Wartawan India Malaysia (MIJA) yang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selepas beberapa orang wartawan Tamil telah menjadi mangsa serangan dan fitnah daripada ahli politik.

“Kami berharap agar Menteri Komunikasi memandang serius perkara ini dan mengambil langkah segera untuk mengelakkan sebarang serangan peribadi terhadap wartawan,” katanya dalam kenyataan.

Teh Athira berkata, kebebasan media dan keselamatan wartawan harus dilindungi demi memastikan laporan berita yang adil dan bebas dapat terus dijalankan.

“Kami berharap, semua pihak dapat menghormati siasatan yang dilakukan oleh pihak polis. Dalam pada itu, kami juga berharap agar siasatan yang dilakukan adalah adil dan saksama,” jelasnya.

Menurutnya, NUJ akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan memberikan sokongan penuh kepada wartawan yang terlibat.

“Bersama, kita dapat memastikan integriti dan kebebasan media di negara kita akan terus terjamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI