NEW DELHI – Sebuah video tular di media sosial memaparkan kenderaan polis dipandu di dalam wad kecemasan sebuah hospital untuk menangkap seorang kakitangan yang didakwa melakukan gangguan seksual, lapor laman berita NDTV semalam.
Dalam klip video berdurasi 26 saat itu, sebuah kenderaan polis dipandu di tengah-tengah ruang antara katil pesakit.
Menurut polis, seorang kakitangan kejururawatan didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang doktor wanita di dalam dewan bedah.
Insiden itu mencetuskan kemarahan doktor-doktor di hospital tersebut. Mereka mengadakan mogok untuk mendesak agar suspek diberkas.
Melihatkan keadaan mogok itu, polis menyerbu masuk ke dalam wad hospital menggunakan kenderaan bagi memberkas suspek.
Menurut agensi berita PTI, suspek telah ditahan. – AGENSI