SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkolabrasi dengan Unit Pelaksanaan (ICU) kerajaan negeri dalam membasmikan kemiskinan tegar di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, ini dilakukan menerusi perkongsian data untuk melihat sejauh mana sekiranya berlaku pertindanan bantuan dan terlepas atau tercicir daripada data LZS dan ICU .
“Kami akan melihat bagaimana kolabrasi tersebut dapat dijalankan dan yang penting bantuan mesti diberikan dan tiada yang tercicir.
“LZS seperti dalam operasi harian akan mencari,menjejaki dan membanci serta terus memberikan bantuan kepada mereka yang layak di seluruh Selangor. Itu usaha LZS dalam bantu kurangkan miskin tegar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang akhbar prestasi kewangan LZS bagi tahun 2023 , hari ini .
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan pentadbiran negeri meletakkan sasaran untuk menghapuskan keluarga miskin tegar selewat-lewatnya pada Julai ini.
Bagi mencapai matlamat berkenaan, kerajaan negeri akan memasukkan keluarga berkenaan sebagai penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), layak menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.
Mohd. Sabirin menjelaskan berdasarkan dada LZS menunjukkan dianggarkan seramai 70,000 keluarga asnaf dibantu setakat ini yang mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM2,990 sebulan .
“Kalau ikut data dan kajian dalaman LZS, jumlah keluarga miskin mungkin akan mencecah 157,000 menjelang 2030.
“Di Selangor, had kifayah melayakkan seseorang itu atau keluarga bawah fakir dan miskin sekiranya pendapatan kurang RM2,990 untuk enam orang isi rumah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE