PETALING JAYA – Aspek keselamatan keluarga menjadi kebimbangan utama buat pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee selepas beberapa dokumen penting miliknya turut hilang dalam insiden rumahnya dipecah masuk oleh individu tidak dikenali.
Ahmad Khuzaimi menjelaskan ketika kejadian tiada sesiapa berada di rumah, namun beberapa dokumen penting miliknya termasuk passport menggunakan alamat kampung.
“Saya tinggal seorang saja dekat sini (Shah Alam). Anak dan isteri semuanya berada di Melaka dan Alhamdulillah ketika kejadian tiada orang di rumah.
“Kebimbangan ketika ini adalah passport dan beberapa dokumen penting menggunakan alamat kampung. Saya bimbang mengenai keselamatan ahli keluarga di kampung,” katanya.
Ahmad Khuzaimi menerusi Insta Storynya berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan keadaan dalam rumah dan pemeriksaan dilakukan menyaksikan motosikal jenis Yamaha Y15, beg silang pelbagai jenama beserta paspot telah hilang.
“Barang lain yang hilang masih lagi tiada masalah namun motosikal itu banyak meninggalkan kenangan kepada saya. Motosikal itulah saya gunakan cari rezeki untuk anak dan waktu susah sebagai pemain bola sepak tetapi kini saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE