PETALING JAYA – Tren transit aliran ringan (LRT) yang mengalami kelewatan perjalanan bermula awal pagi akibat daripada gangguan sistem suis landasan sudah kembali lancar menjelang pukul 9.26 padi tadi.
Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur (Rapid KL) dalam satu kenyataan di laman sesawang memaklumkan, gangguan sistem suis landasan itu terjadi di stesen Kelana Jaya dan stesen Taman Bahagia.
“Kerja-kerja membaik pulih sistem suis landasan di stesen Kelana Jaya dan stesen Taman Bahagia sedang dilakukan dan tren akan dipandu secara manual sepanjang dua stesen tersebut.
“Sehubungan itu, tren akan bergerak secara perlahan dan berhenti lebih lama di platform. Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan terima kasih atas kesabaran anda,” katanya.
Walau bagaimanapun, aliran LRT di kedua-dua laluan Putra Height dan Gombak kembali lancar menjelang pukul 9.26 pagi tadi.
“Kerja baik pulih gangguan sistem suis landasan telah selesai dijalankan. Jadual perjalanan sedang diselaraskan dan perkhidmatan tren akan beroperasi normal sebentar lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE