PUTRAJAYA – Umat Islam yang berhasrat melakukan semakan arah kiblat secara manual diingatkan bahawa peristiwa Istiwa A’dzam pada kali ini berlaku awal sehari daripada kebiasaan.
Demikan nasihat pakar falak, Datuk Dr. Azhari Mohamed sebagai merujuk fenomena alamiah itu yang kelaziman berlaku pada tanggal 28 Mei setiap tahun.
“Insya-Allah, kali ini akan terjadi pada 27 Mei pula kerana tahun ini secara kebetulan ialah tahun lompat dengan 2024 ada lebih sehari pada Februari lalu.
“Jadi, berikutan 2024 merupakan tahun lompat yang terjadi hanya empat tahun sekali, maka Istiwa A’dzam juga cepat satu hari daripada tarikh biasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Untuk rekod, Istiwa A’dzam merupakan kejadian unik berlaku dua kali setahun apabila lintasan matahari atau juga disebut sebagai zenith berada tepat kedudukan sudut 90 darjah di atas Kaabah.
Peristiwa tahunan di Masjidil Haram berkenaan kebiasaannya ketika masuk waktu azan Zohor di Mekah, Arab Saudi pada 28 Mei dan kemudiannya berulang lagi pada 16 Julai.
Detik istimewa tersebut amat ditunggu-tunggu masyarakat Islam seluruh dunia terutama di kawasan bumi yang berada dalam zon waktu siang untuk menyemak lokasi tepat kiblat. – KOSMO! ONLINE