fbpx

K2

Hukum kerjaya tapis kandungan lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERJAYA sebagai content reviewer sangat diperlukan dalam era moden ketika ini bagi mencegah kemungkaran. – Gambar hiasan

Saya bekerja sebagai content reviewer yang mana kerjanya adalah tapis kandungan sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna seperti kandungan berbaur keganasan, penganiayaan dan termasuk perkara-perkara lucah. Jadi, apa hukumnya kalau bekerja sebagai content reviewer kerana seseorang itu akan terdedah dengan maksiat melihat aurat/adegan lucah secara sengaja semasa bekerja? Mohon pencerahan.

Jawapan: Bekerja sebagai content reviewer diharuskan kerana tujuan pekerjaan ini demi menjaga kemaslahatan awam dengan menapis kandungan yang sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mukmin dalam mencegah kemungkaran dan maksiat.

Oleh yang demikian content reviewer perlu sentiasa menjaga diri agar tidak terpengaruh dengan kandungan negatif yang dilihat atau dibaca. Dinasihatkan kepada individu yang mudah terkesan dan terpengaruh dengan kandungan negatif yang berunsurkan keganasan atau lucah untuk mengelakkan diri daripada memilih pekerjaan ini.

Dalam keadaan dunia teknologi kini, bekerja sebagai content reviewer adalah harus kerana pekerjaan tersebut menjadi satu keperluan dalam mencegah maksiat sebagaimana kaedah fiqh:
Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara haram.

Sebagai seorang mukmin, kita dipertanggungjawabkan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.Surah Ali ‘Imran (104)

Tugasan content reviewer menapis dan menyemak kandungan hebahan-hebahan yang negatif dan sensitif daripada dihebahkan kepada masyarakat di internet boleh dianggap sebagai mencegah perbuatan kemungkaran. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan oleh content reviewer dengan penuh sabar dan amanah, malah ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri: Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu (dengan tangan), maka dengan lisannya. Sekiranya dia tidak mampu juga (dengan lisan), maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. Riwayat Muslim (49)

Keadaan menjadi lebih terdesak apabila telah banyak bahan-bahan yang tersebar di internet mengandungi unsur keganasan, berbahaya dan negatif seperti penyebaran berita palsu, ideologi-ideologi yang boleh menjejaskan kemuliaan agama Islam dan juga kesejahteraan negara. Oleh yang demikian pekerjaan content reviewer ini diperlukan untuk mengelakkan penyebaran unsur-unsur negatif tersebut.

Tidak dinafikan bahawa pekerjaan ini akan mendedahkan diri kepada maksiat dan perbuatan itu perlu dielakkan jika tiada keperluan. Namun begitu, pekerjaan ini sangat diperlukan dalam keadaan dunia teknologi yang semakin berkembang untuk menjaga maslahah masyarakat awam. Hal ini kerana apabila wujudnya pekerjaan content reviewer ini, hantaran di internet yang mengandungi perkara-perkara negatif mampu dikawal daripada disiarkan kepada masyarakat walaupun reviewer akan terdedah dengan perkara negatif tersebut. Pertimbangan ini selari dengan kaedah fiqh:
Apabila bertembung dua kemudaratan, maka elakkanlah mudarat yang lebih besar dengan melakukan mudarat yang lebih kecil.

Selain itu, kaedah berikut: Menanggung mudarat yang khusus demi mencegah mudarat yang umum.

Walau bagaimanapun, setiap keharusan untuk melakukan perkara yang haram pada asalnya perlulah dilakukan sekadarnya. Bagi seorang penyemak kandungan hendaklah memastikan kadar melihat maksiat dalam keadaan darurat mengikut kadar keperluan sahaja, bukan berlebih-lebihan dan mengambil kesempatan selari dengan kaedah fiqh: Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja.

Oleh yang demikian, penyemak kandungan yang akan kerap terdedah dengan kandungan yang negatif hendaklah sentiasa menjaga dirinya agar tidak terpengaruh dengan perkara yang membawa kepada kemungkaran serta tidak menyalahgunakan keizinan untuk menapis kandungan sensitif demi kepentingan peribadi.

Berdasarkan penerangan di atas, menjadi content reviewer merupakan satu pekerjaan yang sangat penting dalam menapis kandungan yang sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna. Di samping itu, ini juga salah satu cara dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mukmin untuk mencegah kemungkaran.

Dinasihatkan kepada individu yang mudah terkesan dan terpengaruh dengan kandungan negatif yang berunsurkan keganasan atau lucah untuk mengelakkan diri daripada memilih pekerjaan sebagai content reviewer ini. Akhir sekali, semoga Allah SWT membantu kita dalam melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dengan mengikut syariat-Nya.

Wallahu a’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI