ZAGREB – Ketua Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic percaya pemain veteran, Luka Modric masih mampu memberi sumbangan besar pada Euro 2024 selepas mengumumkan senarai 26 pemain yang akan menggalas cabaran tersebut.
Meskipun sudah berusia 38 tahun, namun khidmat pemain Real Madrid itu terus ditagih berdasarkan pengalamannya ketika membantu Croatia muncul naib juara pada Piala Dunia 2018 di Rusia.
Dalic juga percaya, senarai 26 pemain dipanggil bagi menggalas misi di Euro nanti mampu untuk berdepan cabaran sukar dalam Kumpulan B yang turut dibarisi dua bekas juara, iaitu Sepanyol dan Itali serta Albania.
“Tidak ada tekanan untuk kami kerana Croatia hanya mahu menikmati bola sepak pada Euro nanti. Sasaran utama kami adalah bagi memastikan pasukan kembali bermain seperti biasa dan menggembirakan penyokong.
“Kami perlu ada keyakinan pada kemampuan diri kerana Croatia sentiasa melakar kejutan ketika berdepan cabaran sukar. Jadi, kali ini kami mahu mengekalkan prestasi seperti itu,” katanya.
Tambah Dalic, pengaruh serta pengalaman dimiliki Modric mampu memberi kelebihan kepada pemain-pemain lain, justeru mereka tidak berdepan sebarang masalah dari segi moral serta motivasi pemain.
“Apa yang saya tahu, dia (Modric) sudah tidak sabar untuk memulakan aksi Euro 2024 bersama Croatia. Saya sangat gembira kerana kami memang memerlukan seorang pemimpin sepertinya di dalam padang,” ujar beliau. – AGENSI