DUBLIN – Pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso tetap berbangga dengan keseluruhan pencapaian dilakar anak-anak buahnya meskipun terlepas peluang untuk menjulang kejuaraan Liga Europa musim ini selepas tewas 0-3 kepada Atalanta pada final di Stadium Aviva, Dublin awal pagi tadi.
Kekalahan di bumi Ireland itu sememangnya perit untuk ditelan barisan pemain Leverkusen kerana ia meranapkan impian mereka untuk menamatkan penantian 36 tahun menjuarai gelaran di pentas Eropah sejak menjuarai Piala UEFA pada 1987/1988.
Lebih malang, ia turut meleburkan rekod bersih Leverkusen tanpa kalah dalam 51 perlawanan termasuk bergelar ‘Invincibles’ ketika menjuarai saingan Bundesliga musim ini.
“Ia bukan kekalahan dari segi sikap atau permainan, tetapi ini lebih kepada bola sepak. Ia akhirnya berlaku dan tidak sepatutnya berlaku hari ini, tetapi mereka (Atalanta) bermain lebih bagus.
“Jujurnya perasaan kalah ini sangat menyakitkan, tetapi kami terpaksa menerima hakikat ini. Saya percaya para pemain tidak akan sesekali melupakan kekalahan di pentas final ini.
“Kami mempunyai peluang yang sangat cerah dan mereka telah berikan segala-galanya, tetapi ia masih tidak berjaya. Kami terima pengajaran ini yang akan mematangkan kami pada masa depan,” kata Alonso.
Leverkusen terpaksa akur terlepas trofi Liga Europa disebabkan ledakan hatrik penyerang Atalanta, Ademola Lookman pada minit ke-12, 26 dan 75.
Meskipun gagal untuk mendakap gelaran trebel, tetapi Leverkusen masih berpeluang untuk bergelar juara berganda musim ini jika berjaya menewaskan pasukan divisyen kedua, Kaiserslautern pada final Piala DFB di Berlin, Ahad ini.
“Ini kekalahan pertama kami musim ini, tetapi kami tidak boleh leka kerana masih ada satu perlawanan besar pada Sabtu ini (final Piala DFB pada Ahad).
“Sukar untuk saya katakan adakah pemain boleh bersedia dan segera melupakan kekalahan ini? Kerana biasanya ia berlaku (tewas) di awal saingan, tetapi perkara ini terjadi kepada kami di perlawanan akhir,” jelas Alonso. – KOSMO! ONLINE