KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan bekas penulis blog Papagomo bagi menggugurkan pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan berhubung perkembangan representasi itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali.
Menurut Deepa, pihaknya menerima representasi pada 18 April lalu dan AGC membuat keputusan menolak permohonan tertuduh hari ini.
“Berhubung representasi dikemukakan tertuduh pada 5 April lalu, arahan yang diterima daripada AGC pada pagi ini adalah untuk meneruskan kes dan representasi tertuduh ditolak,” katanya.
Perkara itu kemudian disahkan peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Papagomo.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Aminah kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 4 Julai ini.
Mahkamah juga memutuskan tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan selama empat hari bermula 11 Julai ini diteruskan.
Pada 8 Januari lalu, Papagomo atau nama sebenarnya sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa telah menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu pukul 1 tengahari pada 8 November 2023.
Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang lagi individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin Bukit Bintang di sini.
Berikutan itu kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Papagomo kemudian diberikan ikat jamin sebanyak jamin RM7,000 dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE