PETALING JAYA – Tindakan seorang pelajar lelaki yang cuba membelasah pengadil ketika bermain dalam acara Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Kubang Pasu, Kedah mendapat perhatian ramai orang.
Menerusi perkongsian video oleh @pengadilbola di laman X, pelajar tersebut secara tiba-tiba menolak kasar pengadil tersebut dari arah belakang sewaktu konflik di antara dua pasukan itu berlaku.
Berdasarkan rakaman, pergaduhan itu menjadi tegang apabila pengadil bola sepak itu membalas pukulannya terhadap budak lelaki tersebut.
Di dalam video itu, terdapat juga beberapa individu turut terlibat menyertai perbalahan dengan mencuba untuk menyepak dan menumbuk pengadil berkenaan.
Dalam pada itu, beberapa pemain, pelatih dan pengadil yang lain pantas berlari untuk meleraikan pergaduhan tersebut.
Sementara itu, keadaan bertambah kecoh apabila penonton yang dalam kalangan ibu bapa juga turut terkesan dengan pertengkaran itu.
Mengulas lanjut, suara seorang wanita didengari dengan mengatakan seorang pengadil tidak sewajarnya memukul pelajar sekolah.
“Pengadil tak boleh pukul budak,” kata seorang perempuan ketika menonton perlawanan itu.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan individu terlibat yang bergaduh sesama mereka sehingga mencemarkan sukan bola sepak.
“Muda-muda pun tiada adab. Tak perlu main bola kalau jadi sampai macam ini selalu,” komen @Imza.
“Ibu mana yang kata pengadil tak boleh pukul budak? Kalau anak saya buat hal macam itu, saya akan marah dia di situ juga,” komen @syafiq.
“Ini baru kecil, kalau main perlawanan besar sampai nak gaduh macam ini, kamu memang tak layak nak jadi pemain bola sepak,” komen @arish. – KOSMO! ONLINE
Keadaan agak tegang, muncul “kapten pasukan jersi putih/hijau” pukul curi dari belakang.
Kejohanan Bola Sepak MSSD, kejohanan rasmi yang dianjurkan oleh KPM utk bola sepak peringkat bawah umur. Inilah masa depan bola sepak kita. pic.twitter.com/VbfLWBm8EP
— Hal Ehwal Pengadil (HEP) (@pengadilbola) May 22, 2024