PETALING JAYA – Pengasas bersama Jemaah Islamiyah (JI), Abu Bakar Bashir menegaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, 17 Mei lalu.
Dalam video yang dihantar oleh anaknya, Abdul Rahim Bashir kepada sebuah portal berita tempatan, Abu Bakar turut mengecam tindakan tersebut yang disifatkan sebagai bertentangan dengan prinsip agama Islam.
Malah, Abu Bakar juga menafikan sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam serangan tersebut.
“Saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan serangan (di Balai Polis Ulu Tiram). Saya tidak tahu mengenainya dan sangat terkejut selepas mendengar berita tentang kejadian tersebut.
“Sesiapa sahaja yang menuduh atau cuba untuk mengaitkan saya dengan serangan tersebut, mereka berbohong dan saya akan ajak mereka untuk buktikannya di hadapan Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Bakar turut menasihati anak muda agar tidak mengambil tindakan keras dan sewenang-wenangnya melabel orang lain sebagai kafir tanpa berlandaskan al-Quran.
“Membunuh bukanlah satu ajaran dalam Islam. Dalam Islam, apabila ada satu situasi berlaku, sudah cukup jika kita mempertahankan agama dengan dakwah dan doa, bukannya dengan membunuh atau mengebom,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi.
Suspek berusia 21 tahun maut ditembak manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan kini stabil setelah dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pada awalnya, suspek berusia 21 tahun itu disyaki mempunyai kaitan dengan JI berdasarkan pembabitan bapanya yang juga ahli kumpulan pengganas berkenaan.
Allahyarham Azza Fahmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di Perak pada pukul 7.20 malam Sabtu lalu, manakala Allahyarham Muhamad Syafiq pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam 8, Jalan Gambang, Kuantan di Pahang pada pukul 5.50 petang hari yang sama.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.
Jenazah suspek dilaporkan dikebumikan pada jam 12.15 tengah hari, pada Isnin di Pusara Islam Sungai Tiram, Ulu Tiram. – KOSMO! ONLINE