BANGKOK – Perasaan sedih menyelubungi seorang ibu apabila menerima pesanan teks penuh emosi daripada anaknya yang juga mangsa insiden pesawat Singapore Airlines (SIA) semalam, lapor akhbar The Sun UK.
Menurut Josh Baker, dia yang dalam ketakutan sempat menghantar mesej kepada ibunya ketika pesawat Boeing tersebut terjunam 2,133 meter akibat pergolakan udara (turbulent) kuat.
Josh difahamkan dalam penerbangan ke Pulau Bali di Indonesia untuk bercuti sebelum menghantar ‘kata-kata terakhirnya’ kepada orang tersayang.
“Saya bukan mahu menakutkan kamu, tetapi saya dalam penerbangan yang huru-hara. Pesawat sedang mendarat cemas…Saya sayang kamu semua,” kata Josh.
Sementara itu, ibu kepada Josh, Allison Barker menyifatkan penantian berjam-jam itu ‘menyeksakan’ selepas menerima mesej menyayat hati daripada anaknya pada pukul 9.10 pagi (waktu tempatan) semalam.
“Ia sangat menakutkan. Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku,” kata Allison kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
“Kami tidak tahu sama ada dia terselamat, ia sangat menyedihkan. Ia adalah dua jam paling lama dalam hidup saya,” tambahnya lagi.
Bagaimanapun, Allison bersyukur selepas berjaya menghubungi anaknya dan mengetahui bahawa anaknya dalam keadaan selamat.
Josh dilaporkan mengalami beberapa kecederaan ringan pada giginya.
Dalam kejadian itu, seorang penumpang meninggal dunia dan puluhan yang lain cedera selepas penerbangan SIA dari London menuju ke Singapura mengalami pergolakan udara yang teruk semalam. – AGENSI