NEW YORK – Seorang saintis mendakwa bahawa penyelidik cuba membina reaktor nuklear mini sebesar tapak tangan bagi membantu menarik kedatangan makhluk asing ke Bumi, lapor laman berita Wion News semalam.
Idea itu berdasarkan tanggapan yang telah lama dipegang bahawa makhluk asing lebih mudah mengesan reaktor nuklear, radiasi atau senjata.
Beberapa laporan media pada masa lalu telah mengaitkan penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) dengan tapak nuklear di seluruh dunia.
Pakar Fizik di Universiti di Albany, New York, Profesor Kevin Knuth berkata, ia adalah idea yang boleh diterima pakai, manakala reaktor nuklear sebesar tangan manusia sedang dipatenkan.
“Kami cuba memikirkan bagaimana untuk menarik kedatangan UFO dan mencari cara berhubung dengannya.
“Kami memutuskan bahawa UFO mempunyai keupayaan untuk mengesan senjata nuklear, sebahagian daripadanya berada di bawah tanah dan depoh simpanan,” katanya seperti dipetik oleh akhbar Daily Star.
Saintis itu menambah bahawa makhluk asing kelihatan mempunyai keupayaan istimewa untuk mengesan senjata nuklear. – AGENSI