OSLO, NORWAY – Norway, Ireland dan Sepanyol mengumumkan hari ini bahawa ia akan mengiktiraf negara Palestin.
Pengumuman itu sekali gus mendorong Israel untuk segera memanggil semua dutanya.
Pemimpin Ireland berkata, Dublin akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi tidak menyatakan masanya.
Sementara itu, pemimpin Norway dan Sepanyol pula berkata, dua negara itu akan berbuat demikian mulai 28 Mei ini.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store membuat pengumuman tersebut di Oslo, manakala Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid dan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris di Dublin.
Dalam pada itu, Israel mengumumkan bahawa ia memanggil semula utusannya ke Ireland dan Norway untuk ‘rundingan segera’.
“Hari ini, saya menghantar mesej tegas kepada Ireland dan Norway bahawa Israel tidak akan meneruskan perkara ini secara senyap,” kata Menteri Luar, Israel Katz.
Katanya, dia merancang untuk melakukan perkara yang sama dengan Duta Sepanyol.
Selama beberapa dekad, pengiktirafan rasmi negara Palestin dilihat sebagai pengakhiran proses damai antara Palestin dan Israel.
Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah barat sebelum ini berkata, mereka bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin suatu hari nanti, tetapi selepas persetujuan dicapai mengenai isu-isu seperti sempadan akhir dan status Baitulmuqaddis. – AFP