PETALING JAYA – Penyanyi Amir Jahari mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang menggunakan aplikasi WhatsApp.
Katanya, individu terbabit telah menghantar beberapa pesanan ringkas kepada kenalannya untuk meminta sejumlah wang.
“Jangan sampai ada yang terkena dengan mamat ini. Nasib baik dia WhatsApp isteri saya. Setidaknya boleh sedar awal.
“Sudah beberapa orang di WhatsApp tanya. Sudahlah pakai gambar keluarga,” katanya menerusi Instagram.
Dalam pada itu, Amir atau nama lengkapnya Mohamad Amirullah Jahari, 31, menjelaskan, dia hanya memiliki satu nombor telefon peribadi yang digunakan untuk keluarga dan kenalan.
“Aku hanya ada satu nombor yang peribadi untuk keluarga dan kawan-kawan. Selain dari itu, semua bukan nombor aku,” katanya.
Amir turut kongsikan tangkap layar perbualan suspek dipercayai sebagai Wan Bahthiar Wan Husin meminta wang kepada isterinya, Kartini sejumlah RM150 dengan alasan untuk membantu saudara akibat dimasukkan ke hospital.
Untuk rekod, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sebelum ini melaporkan sebanyak 494 kes melibatkan kerugian RM2.5 juta berkaitan jenayah penipuan melalui penyamaran sebagai rakan dicatatkan sepanjang tahun lalu. – KOSMO ONLINE