fbpx

Malaysia Masters: Zii Jia konsisten ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA berada dalam Kumpulan G di Sukan Olimpik Paris 2024 bersama wakil Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan juga pemain Sepanyol, Pablo Abian. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengekalkan aksi konsisten apabila memastikan tempat ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada aksi pusingan pertama sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu mengenepikan cabaran pemain China, Zhao Jun Peng menerusi kemenangan tiga set 19-21, 21-11, 21-14.

Keputusan itu menyaksikan Zii Jia meneruskan momentum kemenangan selepas dia merangkul gelaran pertama musim ini apabila muncul juara pada kejohanan Terbuka Thailand di Bangkok Ahad lalu.

Dia berkata, kemenangan yang diraih sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada Zii Jia memandangkan sebelum ini dia sering terkandas awal setiap kali beraksi di laman sendiri dalam mana-mana kejohanan.

“Saya sangat gembira untuk menang perlawanan hari ini kerana kalah pada set pertama. Dia seorang pemain yang sangat sukar untuk ditentang kerana saya pernah kalah kepadanya, jadi gembira dapat catat kemenangan.

“Sudah tentu ada rasa lega dapat menang di sini. Ketika tewas di set pertama, saya kata kepada diri ‘takkan kalah lagi di pusingan pertama’ dan berjaya untuk bertenang seterusnya memenangi perlawanan,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Menjelang aksi pusingan kedua esok, Zii Jia dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mara ke suku akhir apabila dijadualkan bertemu pemain muda dari India, Kiran George yang menewaskan wakil Jepun, Takuma Obayashi 21-16, 21-17.

“Biasanya pemain-pemain muda akan masuk ke dalam gelanggang dengan objektif untuk melakukan kejutan. Saya sebagai pemain pilihan dan berada dalam kelompok 10 teratas perlu berdepan cabaran ini,” ujarnya.

Turut mengikut jejak langkah Zii Jia ke pusingan kedua adalah perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang mencatat kemenangan 13-21, 23-21, 21-12 ke atas pemain China, Lei Lan Xi dalam tempoh 1 jam 20 minit.

Perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei juga meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas dipaksa bermandi peluh untuk menewaskan wakil Ukraine, Polina Buhrova 21-16, 18-21, 21-18.

Bagaimanapun, seorang lagi perseorangan wanita, K. Letshanaa gagal mengikut jejak langkah rakan senegara yang lain apabila tewas 14-21, 9-21 kepada pilihan utama dari China, Han Yue. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI