KUALA LUMPUR – Kejohanan Badminton Malaysia Masters menjadi penampilan terakhir buat Chan Peng Soon-Cheah Yee See selepas beregu campuran profesional itu membuat keputusan untuk menggantung raket.
Bagaimanapun, pasangan No.40 dunia itu berdepan penamat kurang baik apabila tewas 10-21, 6-21 kepada beregu China, Cheng Xing-Li Qian seawal pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Bagi Peng Soon, dia sudah mengenepikan soal keputusan perlawanan memandangkan tujuan utamanya adalah untuk menikmati aksi terakhir di hadapan penyokong sendiri selain mengimbau kenangan sepanjang bergelar pemain profesional.
“Kita jangan cakap mengenai perlawanan kerana saya memang rasa tidak selesa. Terasa seperti mahu menangis tetapi saya tahan sahaja memandangkan hati memang tidak tenang hari ini.
“Saya teringat semula bagaimana saya mula-mula menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak berusia 18 tahun dengan enam bulan pertama tidak ada gaji kerana masih dalam tempoh percubaan.
“Ketika itu, ada tanya diri sendiri sama ada saya memiliki masa depan ataupun tidak. Saya ingin berpesan kepada orang muda bahawa tidak ada jalan pintas jika mahu menjadi pemain berkelas dunia,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pada masa sama, pemain berusia 36 tahun itu menegaskan tidak pernah menyesal dengan keputusan memilih badminton sebagai kerjaya memandangkan dia memiliki pencapaian cukup cemerlang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying.
“Tidak pernah kesal dengan keputusan memilih badminton sebagai kerjaya. Sebenarnya, ia bukan berdasarkan aksi dalam gelanggang semata-mata kerana saya juga dapat belajar budaya negara lain ketika beraksi di luar negara.
“Sudah pasti kejayaan merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 akan menjadi kenangan paling manis dalam karier sejak bergelar pemain badminton negara,” ujar Peng Soon.
Sebagai rekod, Peng Soon dan Yee See mula digandingkan kali pertama pada 2017 dan memenangi beberapa kejohanan termasuk Grand Prix (GP) Terbuka Rusia 2017 serta KL Masters Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE