DUBLIN – Jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso enggan barisan pemainnya mendabik dada selepas dianggap sebagai pilihan utama menjelang aksi final Liga Europa bertemu Atalanta di Stadium Aviva awal pagi esok.
Sebagai rekod, Leverkusen kini berhasrat untuk memahat sejarah baharu dalam usaha bergelar juara trebel selepas berjaya mendominasi saingan Bundesliga musim ini dengan aksi final Liga Europa dan Piala Jerman menjadi buruan.
Kata Alonso, pasukan Serie A itu wajar untuk dihormati kerana memiliki ramai pemain berkualiti selain dibimbing oleh pengendali berpengalaman seperti Gian Piero Gasperini.
“Saya jangkakan perlawanan yang sukar kerana kita bakal beradu taktikal dengan pasukan yang cukup hebat seperti Atalanta. Mereka telah dibentuk dalam satu pasukan untuk tempoh yang lama selain dibimbing pakar strategi seperti Gasperini.
“Saya lihat kedua-dua pasukan terdesak untuk memburu trofi Eropah pada musim ini dan sudah tentu pasukan kami bersedia sepenuhnya pada aksi final nanti.
“Saya percaya barisan pemain sudah boleh melupakan seketika kejayaan menjulang gelaran liga dan fokus untuk misi seterusnya kerana sudah lama kelab ini tidak menjulang trofi di pentas Eropah dan kali terakhir adalah pada edisi 1988,” katanya.
Leverkusen telah mencipta sejarah baharu bola sepak Eropah apabila tidak tewas sepanjang 51 perlawanan pada kempen musim ini.
Selepas aksi final Liga Europa, mereka akan bersaing pada satu lagi perlawanan akhir Piala Jerman menentang Kaiserslautern pada Sabtu ini. – AGENSI