KUALA PILAH – Seekor harimau kumbang dirakam sedang melintas jalan di kawasan Seri Menanti-Kampung Parit, di sini sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini.
Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama dilaporkan dan penduduk dinasihatkan agar tidak panik apabila terserempak dengan haiwan tersebut.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, pihknya menerima aduan pada 19 Mei lalu dan kakitangan Unit Konservasi, Jabatan Perhilitan Jempol dan Daerah Seremban digerakkan untuk menjalankan siasatan.
“Harimau kumbang itu dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Angsi berdekatan dan melalui kawasan tersebut (pada hari kejadian) sebelum masuk semula ke hutan berkenaan.
“Terdapat lorong yang laluan utama hidupan liar untuk melintas jalan ke hutan di seberang jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan turut memaklumkan, HSK terletak kira-kita satu kilometer (km) dari Royal Seri Menanti Golf & Country Club. Jarak perangkap harimau kumbang terhampir adalah 2 km dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE