PETALING JAYA – Sempena sambutan Hari Wesak hari ini, Perdana Menteri menyeru agar semua rakyat menjadikan setiap perayaan dan budaya sebagai teras atau elemen yang memperkuat kesepaduan dalam mempertingkat persefahaman.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini mampu menjadi gagah dengan rakyatnya yang kuat dan berpadu.
“Antara etika universal yang ditekankan dalam ajaran Buddha adalah menolak ‘ignorance’ atau kejahilan.
“Justeru, mari bersama berusaha tingkatkan persefahaman, rangkul segala kekuatan rakyat dan beri keutamaan dalam melonjak negara ke depan,” tulisnya.
Pada hantaran sama, Perdana Menteri turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak kepada semua penganut Buddha di negara ini.
“Selamat menyambut Hari Wesak buat seluruh penganut Buddha, terutamanya di Malaysia.
“Semoga perayaan Wesak yang mencerahkan buat kalian, membawa kebahagiaan buat sahabat dan keluarga, selain memperkukuh kerukunan,” katanya. – KOSMO! ONLINE