BANGKOK – Seorang lelaki warga Britain yang maut dalam insiden penerbangan Singapore Airlines (SIA) dikenal pasti sebagai Geoff Kitchen, lapor saluran berita CNA.
Penghormatan terakhir diberikan kepada pesara berusia 73 tahun itu pada hari ini, di bandar terletak kediaman mendiang di Thornbury, berhampiran Bristol di barat daya England.
Kitchen menaiki penerbangan SQ321 bersama isterinya untuk bercuti selama enam minggu.
“Kematiannya berkemungkinan disebabkan oleh serangan jantung,” kata Pengurus Besar Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Kittipong Kittikachorn pada sidang akhbar.
Kitchen diingati sebagai sebahagian daripada ahli aktif kumpulan teater muzikal tempatan dengan semangat juang yang tinggi untuk komuniti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong memohon maaf kepada semua penumpang penerbangan SQ321 berhubung insiden traumatik itu.
“Keutamaan kami adalah untuk memberikan semua bantuan yang mungkin kepada penumpang dan anak kapal kami.
“Sekali lagi, kami memohon maaf yang tidak terhingga kepada semua orang yang terjejas oleh insiden ini,” katanya. – AGENSI