RAWANG – Kraftangan Malaysia menerusi Institut Kraf Negara (IKN) giat melaksanakan pelbagai program bagi melestarikan pendidikan kraf setanding dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
Inisiatif ini dilaksanakan melalui peningkatan kemahiran, perkongsian dan pengembangan ilmu kepada pelajar, pengajar, usahawan kraf serta masyarakat.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli berkata, penglibatan pakar kraf dari dalam dan luar negara turut dipergiatkan dengan usaha meningkatkan kelayakan profesional, akademik dan pengiktirafan kemahiran teknikal industri.
Menurut beliau, usaha ini bertujuan untuk memastikan penubuhan IKN selaras dengan hala tuju untuk menjadi sebuah institusi peneraju kecemerlangan pengajian kraf berinovasi dan berkemahiran tinggi.
“Pada Februari lalu, Kraftangan Malaysia menerusi IKN telah menandatangani memorandum persefahaman dengan beberapa IPTA bagi graduan IKN melanjutkan pengajian mereka.
“Kepakaran dan pengalaman juga dikongsi dalam meningkatkan kualiti pengajian, penerbitan, pembangunan modal insan dan sahsiah diri serta program-program lain yang dapat mendatangkan manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bakat Seni Kraf Remaja sempena Hari Terbuka IKN 2024 di sini kelmarin.
Hari Terbuka IKN 2024 yang diadakan selama dua hari bermula 19 Mei lalu adalah acara tahunan yang dianjurkan sejak tahun lepas.
Kelainan Hari Terbuka IKN pada tahun ini adalah penganjuran Pertandingan Bakat Seni Kraf Remaja yang bermatlamat untuk mencungkil bakat dan kreativiti pelajar tingkatan empat dan lima.
Seramai 110 peserta mengambil bahagian dalam kategori tersebut yang mana 58 peserta menyertai Pertandingan Seni Kraf Batik dan bakinya 52 peserta dalam Pertandingan Seni Kraf Ukiran Kayu.
Mereka adalah pelajar daripada 16 buah sekolah dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka.
Berkesempatan menemu bual juara Pertandingan Seri Kraf Batik (melakar, mencanting dan mewarna batik), Auni Darwisyah Nor Ainuddin, 16, berkata, dia tidak menyangka terpilih atas hasil seninya dan berjaya membawa pulang wang tunai RM500 beserta sijil.
Pelajar Kolej Vokasional Setapak jurusan Seni Reka Fesyen itu berkata, ini merupakan kali pertama penyertaannya dalam pertandingan mencanting batik setelah membuat latihan selama empat hari.
“Mencanting batik ini memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi berbanding lukisan biasa. Batik ni seni orang Melayu, tapi tak ramai generasi sekarang yang minat.
“Walaupun begitu, yang membuatkan seni batik lain daripada seni moden adalah motif-motif bunga dan warna-warnanya yang menarik.
“Saya dapat inspirasi daripada warna-warna alam sekitar, langit, rumput dan bunga-bunga serta digabungkan dengan warna-warna asas menjadi warna yang lain daripada yang lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Daniel Rayyan Fazle, 16, pula dinobat sebagai juara Pertandingan Seni Kraf Ukiran Kayu (Ukiran Tebuk tembus Pola Bujang).
Pelajar Sekolah Menengah Ideal Heights, Batu Caves berkata, minatnya terhadap ukiran kayu bermula sebagai hobi sahaja dan suka mengasah kayu. -KOSMO! ONLINE