fbpx

Hanya Anwar sahaja berani laksana penyasaran subsidi diesel – Kor Ming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (tengah) bergambar dengan sebahagian penerima bantuan kewangan di Dewan Kuil Sri Vellai Vinayagar, Teluk Intan hari ini. - Foto AINSAFRE BIDIN/ KOSMO!

TELUK INTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu-satunya pemimpin kerajaan yang berani melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia sebagaimana diumumkan beliau semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kerajaan Madani pimpinan Anwar perlu mengambil langkah tersebut dan enggan berpura-pura tidak nampak ketirisan yang berlaku di hadapan mata.

Justeru, beliau berkata, kerajaan memilih untuk mengambil sikap penuh tanggungjawab bagi menjamin kelangsungan masa depan negara serta membela masa depan semua.

“Kita tak mahu ketirisan sedemikian. Setiap kerajaan yang datang silih ganti semua cakap sahaja, tiada seorang pun berani buat. Akhirnya, individu bernama Anwar Ibrahim sahaja yang sanggup tampil ke depan untuk melakukan reformasi amat penting ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program Penyerahan Bantuan Kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Parlimen Teluk Intan bernilai RM240,000 di Dewan Kuil Sri Vellai Vinayagar di sini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, penjimatan sehingga RM4 bilion setahun yang bakal dicapai menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan membolehkan lebih banyak infrastruktur dibina untuk rakyat.

“Duit itu kerajaan akan pakai untuk beri bantuan seperti yang saya serahkan pagi ini kepada murid kaum India. Selain itu, duit yang kita jimat akan bina universiti lebih baik, hospital lebih canggih dan masjid serta surau lebih tersergam indah.

“Begitu juga dengan lain-lain kemudahan asas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Oleh itu sangat-sangat penting reformasi ini dapat didokong dan disokong oleh sekalian rakyat,” katanya.

Kor Ming berkata, langkah melaksanakan penyasaran subsidi diesel itu perlu diambil memandangkan kerajaan membelanjakan hampir RM80 bilion bagi tujuan subsidi pukal setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya ia turut dinikmati oleh 3.8 juta pekerja dan warga asing yang tidak membayar cukai.

Bukan itu sahaja, menurut beliau, lebih tiga juta bahan bakar bersubsidi telah diseludup ke luar negara oleh sindiket setiap hari menyebabkan kerajaan menanggung kerugian berjumlah RM2 bilion setahun.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan kerajaan telah menilai risiko pelaksanaan penyasaran subsidi dan meminimumkan impaknya, sekali gus membolehkan rakyat menerima manfaat daripadanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI