fbpx

Nasib Faisal Halim ditentukan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHRIL ketika ditemubual pemberita selepas melawat Faisal Halim di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, hari ini- Foto MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM – Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim memerlukan tempoh sehingga enam bulan bagi proses pemulihan sebelum dibenarkan kembali ke lapangan dan menyertai Selangor FC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, rawatan Faisal di hospital bagaimanapun sudah berada pada fasa akhir yang mana doktor pakar akan memantau sebelum menentukan bila pemain itu dibenarkan keluar hospital.

“Pembedahan keempat memakan masa lama sedikit sehingga enam jam yang mana prosedur ‘skin grafting’ dijalankan.

“Kulit di beberapa bahagian badan Faisal diambil dan ditampal pada lengan kiri serta badannya (yang melecur).

“Alhamdulillah prosedur berjalan lancar. Ini pun rezeki Faisal. Apa yang berlaku selepas ini, dokor pakar akan pantau tidak silap saya, esok dia akan dinilai. Selepas itu kita akan tahu bila Faisal akan keluar (hospital).

“Mungkin ada yang tanya berapa lama lagi Mickey (Faisal) boleh turun ke padang. Saya difahamkan kemungkinan besar tiga hingga ke enam bulan.

“Ini yang diberitahu kepada saya, cuma harapannya lagi cepat lagi bagus,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr. Muhammad Hazwan Khair memaklumkan, pembedahan keempat merupakan prosedur terakhir, namun segala keputusan akan ditentukan oleh pakar yang merawat Faisal.

Selepas hampir tiga minggu dirawat di hospital, Shahril menjelaskan, pihaknya bekerjasama dengan hospital, Institut Sukan Negara (ISN) dan pihak fisioterapi untuk melihat program yang bersesuain buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

“Dr Hazwan, pihak fisioterapi dan ISN sudah rangka program untuk Faisal. Berat badannya turun tiga hingga empat kilogram (kg), tetapi selepas seminggu (dirawat) dia sudah ada selera makan.

“Berat badannya kembali naik satu kilogram, namun sekarang kena bina semula otot,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI