fbpx

Regu Malaysia mudah benam Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI trio sepak takraw negara ketika menewaskan pasukan Singapura pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR  – Skuad regu sepak takraw negara ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menempah tiket ke separuh akhir selepas mudah membenam Singapura pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Trio utama negara yang diwakili Syahir Rosdi selaku tekong, Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) ternyata sukar untuk digugat apabila mempamerkan aksi konsisten pada aksi suku akhir tersebut dengan kemenangan 15-8, 15-9.

Singapura yang membariskan Danish Irfan Faizal selaku tekong, Youri Adli Fathullah Ahmadi (apit kiri) dan Akmal Musyarraf (apit kanan) dilihat gagal menyekat set pertama khususnya servis deras Syahir dan lipatan deras Azlan.

Sedar Malaysia tidak berdepan masalah untuk ke separuh akhir, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengeluarkan Azlan dan Syahir bagi memberi peluang kepada Shahalril Aiman Halim dan Haziq Hairul Nizam untuk masuk.

Jelas, semua pemain negara mempunyai kualiti terbaik terutama gulungan Shahalril Aiman yang terus membuatkan Singapura terpaksa akur dengan kekalahan tersebut.

Menurut Shahalril, dia berbangga dapat membantu negara melangkah ke separuh akhir dan harap impian untuk ke pentas final mampu direalisasikan.

“Pertama sekali, Alhamdulilah rezeki Allah yang beri kepada kita semua untuk Malaysia mencatat kemenangan pada hari ini. Sebagai pemain, saya masih belum berpuas hati kerana banyak lagi kekurangan yang perlu saya baiki pada perlawanan seterusnya.

“Jadi, saya harap mampu memberikan terbaik pada perlawanan separuh akhir malam ini. Jadi saya nak berikan yang terbaik sekiranya dapat diturunkan sekali lagi.

“Soal menjadi pemain utama, bagi saya, semua orang mahu jadi pemain utama. Tetapi, saya serahkan kepada jurulatih kerana dia tahu percaturan yang ingin dilakukan. Di separuh akhir nanti, kita akan buat yang terbaik lagi untuk negara.

“Saya tidak ambil kisah (komen di Facebook yang mahu dirinya jadi apit kanan utama), bila saya baca perkara itu akan membuat saya lebih tertekan, saya biar jurulatih yang aturkan,” kata Shahlril Aiman kepada sejurus tamat perlawanan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI