KANGAR – Polis menyiasat kemungkinan kereta yang terbakar dan meletup di sebuah stesen minyak di Repoh, di sini pada Jumaat lalu terlibat dalam kegiatan penyeludupan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, perkara itu nsmun masih dalam siasatan dan belum ada sebarang tangkapan dilakukan.
“Perkara itu masih dalam siasatan kita (polis),” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang terbakar itu mempunyai tangki minyak tambahan, sekali gus mengaitkannya dengan penyeludupan petrol bersubsidi.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis, Norazah Jaapar berkata, tindakan telah diambil ke atas pemilik stesen minyak tersebut.
Menurutnya, tindakan diambil mengikut Sub Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana didapati melanggar Sub Peraturan 13(2) peraturan yang sama iaitu peruncit gagal menyelenggara buku stok atau tidak mempunyai buku stok.
Kosmo! sebelum ini melaporkan satu letupan akibat kebakaran sebuah kereta menggegarkan sebuah stesen minyak serta menyebabkan pemandunya mengalami cedera ringan di Repoh, Jumaat lalu.- KOSMO! ONLINE