fbpx

PM ke Jepun hadiri Persidangan Nikkei bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Jepun bermula esok hingga 24 Mei ini bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei).

Kementerian Luar (KLN) berkata, Persidangan Nikkei merupakan perhimpunan tahunan yang mana pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan akademik dari rantau Asia Pasifik menyuarakan pendapat secara bebas dan terbuka mengenai isu-isu serantau dan membincangkan peranan Asia di pentas dunia.

Katanya, persidangan pada tahun ini akan menjadi penyertaan pertama Perdana Menteri atas jemputan Nikkei Inc yang dijadualkan menyampaikan ucaptama dengan tema “Asian Leadership in an Uncertain World”.

“Perdana Menteri turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Fumio Kishida yang akan memberi peluang kedua-dua pihak menilai dan membincangkan inisiatif memperkukuh hubungan yang lama terjalin antara Malaysia-Jepun.

“Ini termasuk kerjasama dalam pelbagai bidang, susulan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KLN berkata, antara perkara-perkara yang dijangka dibincangkan adalah teknologi tinggi, peralihan tenaga dan alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam pendidikan tinggi.

Jelasnya, mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Perdana Menteri juga dijadual untuk memberikan ucapan di Universiti Keio.

“Mengiktiraf peranan Jepun sebagai salah satu sumber utama pelaburan langsung asing dan potensi pertumbuhan dalam bidang ekonomi, Perdana Menteri juga mengadakan sesi libat urus dengan beberapa peneraju industri Jepun,” katanya.

Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (AS$29.67 bilion), menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.

Jepun juga merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion) pada tahun 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI