PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan adalah amat penting untuk memastikan kesemua pemegang taruh memperolehi manfaat sewajarnya menerusi peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata, KKDW mempunyai pemegang taruh di seluruh negara yang terdiri daripada kumpulan sasar di kawasan desa, luar bandar, pinggir bandar serta di bandar yang memerlukan keprihatinan dalam menangani pelbagai isu.
“Mara (Majlis Amanah Rakyat) umpamanya adalah agensi yang tidak hanya menumpukan perhatian terhadap masyarakat di desa tetapi di seluruh negara termasuk di bandar dan di pinggir bandar.
“Persoalannya dengan perbelanjaan kerajaan yang begitu besar tahun lepas, kita telah diberikan sebanyak RM7.44 bilion dan kita mengharapkan jumlah yang lebih besar pada belanjawan akan datang.
“Saya ingin menekankan berdasarkan daripada laporan prestasi, adakah kumpulan pemegang taruh ini benar-benar telah memperolehi manfaat daripada belanjawan yang begitu besar yang disalurkan oleh kerajaan melalui kita dan agensi-agensi kita?,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi KKDW Tahun 2023 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE