KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas dari kampung Sabak, Pengkalan Chepa di sini terpaksa menghabiskan usia tuanya dengan menjaga kakak kandung yang terlantar sakit akibat angin ahmar sejak sembilan tahun lalu.
Noriah Yusoff, 62, yang masih bujang berkata, dia juga terpaksa berhenti kerja kampung semata-mata untuk mejjaga Saodah Yusoff, 78.
Menurut Noriah, kakaknya disahkan menghidap angin ahmar selepas terjatuh ketika sedang mencabut rumput di luar rumah kira-kira sembilan tahun lalu.
“Sejak kakak sakit, kami banyak bergantung kepada bantuan keluarga terdekat selain penduduk kampung.
“Ada juga keluarga terdekat yang menghulurkan wang tunai selain lampin pakai buang serta makanan untuk kehidupan kami dua beradik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Noriah memberitahu, selain bantuan keluarga dan jiran, kakaknya juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang digunakan untuk membeli sebahagian barangan keperluan.
Menurutnya, dia perlu membeli lampin pakai buang kakaknya yang memakan belanja sebanyak RM300 setiap bulan.
“Sejujurnya, bantuan JKM itu tidak cukup untuk menampung keperluan perbelanjaan kakak. Disebabkan itu, saya terpaksa bergantung kepada bantuan lain.
“Saya memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan kakak. Saya sudah tua dan tidak mampu lagi untuk bekerja seperti orang muda,” ujarnya.
Noriah berkata, dia bernasib baik kerana sentiasa menerima bantuan daripada jiran-jiran dan keluarga terdekat yang prihatin dengan nasib kakaknya.
“Rumah yang kami berdua tinggal ini merupakan rumah pusaka arwah ibu. Ahli keluarga lain bersetuju dan memberi kebenaran kepada kami berdua untuk tinggal,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noriah di talian 010-849 1905 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0300141000001812 atas nama Noriah Yusoff.