MEKAH – Sajian sihat bercita rasa Malaysia merupakan perkara penting yang diambil kira dalam penyediaan juadah sepanjang musim haji, selain aspek keselamatan makanan yang amat dititikberatkan.
Selepas bertukar-tukar menu serta tinjauan pendapat sejak beberapa tahun lepas, akhirnya Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyediakan empat menu di Mekah untuk digilirkan setiap hari dengan masak lemak, masak kicap, kari ikan dan kari daging.
Malah Pengarah Operasi Katering Tabung Haji, Rashidi Razali@Ghazali berkata, tiada lagi menu ikan patin sebagaimana yang dihidangkan ketika musim haji sebelum ini.
“Untuk tahun ini kita hentikan menu ikan patin dan kita gantikan dengan menu ikan kembung antaranya. Ia bagi memastikan menu tersebut menepati citarasa semua jemaah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Rashidi, empat menu yang disediakan untuk tahun ini juga tidak berkonsepkan negeri atau kawasan-kawasan tertentu.
“Kita masak ikut masakan yang semua negeri ada. Sebagai contoh kari daging atau mungkin hari-hari tertentu ada nasi briyani. Kedua-dua menu ini semua negeri ada dan cukup popular,” jelasnya.
Dalam pada itu Rashidi berkata, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi untuk menepati peraturan dan undang-undang kerajaan Arab Saudi yang lebih ketat kali ini.
“Kalau wujud pelanggaran peraturan, ia akan menyebabkan dapur tidak lagi dibenarkan beroperasi, selain saman juga akan dikeluarkan.
“Malah peraturan itu termasuk pihak katering tidak boleh menyediakan makanan sehari lebih awal walaupun mereka perlu memasak untuk ribuan jemaah haji pada satu-satu masa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE