fbpx

Melaka terima Keris Sundang, Keris Hukum milik Hang Tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ab. Rauf (tiga dari kiri) memegang Keris Sundang yang diserahkan oleh waris ke-11 Laksamana Hang Tuah dari Kepulauan Bentan, Riau, Indonesia, di Melaka, hari ini.

 

MELAKA – Kerajaan negeri menerima penyerahan artifak berupa sebilah Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi sejak turun temurun.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, penyerahan artifak itu telah dilakukan waris ke-11 Laksamana Hang Tuah dari Kepulauan Bentan, Riau, Indonesia, Mohd.Amin Tun Ahmad.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada warisan bersejarah untuk tatapan rakyat negeri ini khususnya generasi muda memahami sejarah dan kehebatan Laksamana Hang Tuah dalam era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

“Tentunya artifak kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang kita terima daripada waris ke-11 Hang Tuah ini bakal menjadi tarikan utama sempena Pameran Hang Tuah yang dijadualkan pada bulan Jun 2024 sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita percaya, dengan penemuan serta pelbagai bukti yang berjaya dikumpulkan oleh kumpulan pengkaji dan penyelidik termasuk penemuan-penemuan artifak dari pelbagai negara, ia dapat meluruskan kebengkokan sejarah oleh penjajah berkaitan Hang Tuah serta Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Artifak Laksamana Hang Tuah, di Lobi Hotel MITC, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambahnya, artifak Keris Hukum itu merupakan keris yang dititahkan oleh Sultan Mansur Shah kepada Bendahara bagi menjatuhkan hukuman kepada Hang Tuah.

Terdahulu, pada tahun lalu media melaporkan kerajaan Belanda turut bersedia memulangkan semula bahan peninggalan sejarah dan manuskrip ketika era penjajahan negara pada 1641 sehingga 1824.

Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner berkata, kerajaan Belanda sedia membantu negeri ini untuk membawa pulang artifak berharga tersebut jika ia didapati benar milik Melaka.

“Jika sekiranya apa-apa barangan bersejarah milik Melaka yang telah diambil semasa era penjajahan Belanda, kita sedia memulangkannya semula tetapi jika tinggalan sejarah itu mutlak milik Belanda kita akan bekerjasama untuk membawanya ke sini untuk dipamerkan.

“Kita memerlukan masa untuk mendapatkan kebenaran dari galeri swasta atau milik individu lain bagi membolehkan tinggalan sejarah penjajahan Belanda dibawa ke Melaka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI