fbpx

Mamasab beri 3,000 kek percuma kepada ibu, guru, jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Noor Sabrina (kiri) menunjukkan kek percuma yang akan dihantar kepada pelanggan yang menyertai kempen sumbangan kek percuma di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

PETALING JAYA – Mamasab Bakery (Mamasab) telah me­ngadakan kempen selama sebulan dari 1 hingga 31 Mei ini untuk memberi 3,000 kek percuma bersempena sambutan Hari Ibu, Hari Guru dan Hari Jururawat.

Kempen yang melibatkan kos sehingga RM180,000 itu bertujuan untuk mengukuhkan imej syarikat khususnya dalam platform online dan juga di pasaran offline.

Pengasas Mamasab, Siti Noor Sabrina Soobri berkata, bagi kumpulan sasaran kempen tersebut yang mahu mendapatkan kek secara percuma, mereka perlu menyertai mana-mana siaran langsung anjuran syarikat di platform TikTok seterusnya mengisi borang khas untuk pro­ses pendaftaran.

Menurutnya, kos penghan­taran kek tersebut ke premis ma­sing-masing akan ditanggung oleh syarikat.

Siti Noor Sabrina menerangkan, sejak hari pertama kempen tersebut dijalankan di Tiktok, pihaknya telah berjaya mendapat sambutan baik sehingga mencecah 10,000 tontonan yang merupakan rekod tertinggi syarikat itu.

“Bagi 10,000 tontonan itu, saya berpendapat ia adalah satu perkembangan yang baik.

“Walaupun tidak semua yang menonton itu membeli, tetapi sekurang-kurangnya kami dapat memberi pendedahan tentang kewujudan kek Mamasab dan membuatkan jenama ini lebih dikenali di samping berkongsi rezeki dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual mengenai kempen tersebut di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Siti Noor Sabrina menjelaskan, melalui siaran secara langsung itu juga, ia akan mengga­lakkan penyertaan lebih ramai penonton seterusnya meningkatkan permintaan serta menambah jualan syarikat.

Tambah beliau, kempen tersebut juga dilihat dapat memberi semangat baharu kepada para pengedarnya yang seramai 6,000 orang yang masih aktif dan setia bersama syarikat.

“Selain menyertai kempen tersebut, orang ramai juga akan dapat berpeluang membeli pelbagai jenis kek yang ditawarkan syarikat  seperti  kek jenis red velvet dan brownies yang dijual pada harga berpatutan.

“Saya berharap melalui kempen yang pertama kali dianjurkan syarikat, bakal mendapat permintaan yang baik daripada pasaran dan dalam masa yang sama, mereka yang diraikan dalam bulan ini pastinya gembira serta teruja dengan kek yang mereka terima.

“Bagi pelanggan yang sememangnya seorang ibu dan bekerja sebagai guru atau jururawat, mereka perlu membuat satu pilihan kek sahaja,” jelasnya. 

Selain itu, beliau menjelaskan, Mamasab bakal menganjurkan kempen pemberian 1,000 kek percuma pada bulan hadapan bersempena sambutan Hari Bapa. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI