PETALING JAYA – Rekod pelaburan asing ke Malaysia dijangka melonjak pada tahun ini menerusi penyertaan daripada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat Mac lalu, negara berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion dan ini dicatat selain daripada pelabur tradisional iaitu Amerika Syarikat dan China.
“Terkini ialah dari Australia (RM24.5 bilion) serta Jerman dan Perancis (RM46 bilion). Rekod tahun ini tentu dilonjakkan lagi lebih-lebih lagi penyertaan Arab Saudi, UAE dan Qatar,” katanya pada Perutusan Negara disiarkan secara langsung malam ini.
Beliau berkata, pelaburan asing tersebut ke negara ini seterusnya akan memberi jaminan pertambahan pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Kita tak boleh pandang ringan angka ini kerana kita dapat jamin Kerajaan Madani sedaya upaya supaya pelaburan ini direalisasikan dalam masa ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE