KUALA LUMPUR – Malam esok bakal menjadi detik penting bagi kem sepak takraw negara selepas skuad beregu dan regu melangkah ke pentas final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sejurus menumbangkan Myanmar dengan kemenangan straight set sebentar tadi.
Peluang Malaysia untuk mencipta sejarah pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 tidak mudah kerana skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu akan berdepan ujian sebenar selepas akan berdepan seteru utama mereka iaitu Thailand pada aksi final di Stadium Titiwangsa malam esok.
Bagaimanapun, pemain negara nyata tidak gentar apabila melontarkan 100 peratus keyakinan untuk menumbangkan Thailand dengan dibantu semangat ribuan penonton Malaysia yang akan hadir memberi sokongan kepada mereka nanti.
Perejam negara, Azlan Alias berkata, dia tidak gentar dengan pemain Thailand malahan mereka akan memberikan sehabis baik agar Malaysia mampu mencipta sejarah baharu di pentas berprestij dunia tersebut.
“Kami berharap semua pemain buat terbaik dan membuat kejayaan. Saya mahu semua pemain lupakan kekalahan lalu dan membuat keajaiban tahun ini.
“Menentang Thailand nanti, saya tidak rasa takut dan saya percaya pada rezeki. Kami akan buat terbaik pada aksi final dengan aksi terbaik lebih 100 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Jais menuntut agar anak didiknya tidak memandang tinggi cabaran Thailand supaya mereka mampu mencipta kejutan menumbangkan pasukan gergasi sepak takraw dunia tersebut.
“Saya harap barisan pemain negara tidak memandang tinggi kepada Thailand supaya kita dapat memberi saingn dan seterusnya melakukan kejutan. Saya yakin jika pemain negara berjaya baiki beberapa elemen kelemahan tidak mustahil kita mampu memberi tentang sengit kepada Thailand esok,” ujarnya.
Terdahulu, pada aksi separuh akhir dalam acara double, beregu negara, Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Nordin mengotakan janjinya untuk ke pentas final selepas berjaya menumbangkan Myanmar dengan keputusan straight set 15-10, 17-16.
Aksi cemerlang tersebut diteruskan regu negara selepas trio negara yang diwakili Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kanan), dan Azlan Alias (apit kiri) turut menghampakan Myanmar selepas mencatat kemenangan mudah 15-3, 15-11.